Aquasprite Theme Demo

Persiapan Kafa tidak terjejas

Tuesday, November 10, 2009 , Posted by apih05 at 4:37 PM

Persiapan Kafa tidak terjejas

Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my

SUASANA kecoh pada final Piala Malaysia yang dicetuskan penyokong fanatik Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

'BAGAI telur di hujung tanduk.'
Mungkin begitu nasib pasukan Kelantan kerana bakal menerima hukuman yang berat akibat sikap 'luar biasa' penyokong mereka pada final Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Selepas insiden yang memalukan itu, ramai mahu pasukan Kelantan digantung penyertaannya dalam liga.

Namun, bagi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), segala perancangan dan persediaan yang telah dibuat sebelum ini sedikit pun tidak terjejas akibat pe- ristiwa hitam itu.

Bagi Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, tahun 2010 adalah Tahun Bola Sepak Kelantan dan ia akan bermula dengan pemantapan skuad Liga Super mereka.

Berikutan itu, khabar angin mula bertiup kencang apabila Kelantan dikatakan akan berbelanja besar untuk membawa masuk beberapa lagi pemain berstatus bintang.

Sumber Kosmo! memberitahu, beberapa pemain kini sedang dalam pemerhatian Kafa dan proses perundingan kini sudah hampir ke peringkat akhir.


Menurutnya, sedikit masa lagi segalanya akan selesai dan dalam tempoh terdekat ini Presi- den Kafa akan mengumumkan barisan Kelantan untuk musim 2010.

"Antara yang telah menandatangani kontrak ialah penyerang yang sedang meningkat naik dan beraksi bersama pasukan remaja negara.

"Sementara seorang lagi ialah pemain tengah yang merupakan anak kelahiran Kelantan yang juga beraksi untuk pasukan kelab pada musim ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, tidak cukup dengan itu, Kelantan juga akan membawa masuk beberapa lagi pemain baru untuk memantapkan beberapa posisi.

Kosmo! difahamkan, seorang pemain pertahanan juga akan dibawa masuk untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Nazrulerwan Makmor yang akan pulang ke pangkuan pasukannya, Felda United.

Menurut sumber berkenaan, pemain pertahanan tersebut merupakan bekas pemain skuad Piala Dunia Remaja 1997 dan pernah beraksi untuk pasukan Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.

Selain itu, Kelantan juga kini sedang menilai seorang pemain untuk mengisi posisi penjaga gawang bagi memantapkan lagi pasukan.

"Segalanya berada pada peringkat akhir dan sekiranya kedua-dua pihak mencapai kata sepakat, pemain-pemain berkenaan bakal menyarung jersi Kelantan untuk musim depan," ujarnya.

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment