Kerajaan Kelantan sedia timbang kurangkan levi
KOTA BHARU - Perbadanan Stadium Sultan Mohamed ke-IV akan memutuskan kadar pengurangan levi terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengikut permohonan menjelang perlawanan pasukan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya tidak ada masalah untuk menimbangkan pengurangan levi setiap permohonan yang dibawa kepada pihaknya.
"Pihak Perbadanan Stadium Sultan Mohamed ke-IV yang menentukan jumlah levi yang dikenakan kepada persatuan.
"Amalan kita buat masa sekarang adalah menimbang 'case by case' sebagaimana kita pertimbangkan permohonan KAFA semasa melawan Perlis.
"Ketika itu kita pulangkan 50 peratus daripada kutipan levi setelah bersetuju dengan permohonan yang dikemukakan KAFA," katanya di sini, semalam.
Abdul Fattah berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai rayuan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang mahu pihak perbadanan stadium mempertimbangkan pengurangan kadar levi terhadap persatuan itu kerana ia agak membebankan dan boleh menyebabkan persatuan itu terkubur.
Annuar dilaporkan berkata, kadar levi itu agak tinggi iaitu sehingga 20 peratus daripada jumlah kutipan tiket bagi setiap perlawanan.
Jelasnya, setiap kali perlawanan, KAFA perlu membayar levi antara RM20,000 hingga RM30,000, manakala 10 peratus lagi perlu dibayar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sementara itu, pemain skuad The Red Warriors dijangka menunaikan umrah dari 7 hingga 17 Ogos ini.
Pakej umrah merupakan hadiah kerajaan negeri atas kejayaan mereka melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lepas.
Katanya, skuad tersebut yang juga akan singgah di Mesir untuk satu perlawanan persahabatan bersama kelab di sana .
Pada masa yang sama, Abdul Fattah memberitahu kerajaan negeri sudah meluluskan permohonan KAFA untuk meletakkan logo kerajaan negeri bersama logo KAFA.
sumber:utusan online
tarikh:11/03/2010
Currently have 0 comments: