Aquasprite Theme Demo

Kamelia

Tuesday, May 12, 2009 , Posted by apih05 at 1:50 AM

Kembalilah Kamelia

Sebuah kisah benar yang telah diadaptasikan oleh pencerita asal..

Loceng berbunyi menandakan waktu pembelajaran sudah pun tamat. Aku dengan segera mengemaskan buku - buku di atas meja dan menyusunnya rapi ke dalam beg sekolah. Kelihatan Fuad juga begitu, tergesa - gesa sedikit. Kami segera mengatur langkah meninggalkan kelas 6 Cempaka.

Perjalanan untuk sampai ke rumah mengambil masa setengah jam dengan berjalan kaki. Kebetulan rumah aku dengan rumah Fuad agak berdekatan, jadi perjalanan kami menjadi sehala. Fuad yang kukenal sejak Tahun Satu, dialah sahabat baikku yang paling rapat. Kebetulan juga kami tinggal sekampung, satu kelas dan dengan itu banyak masa dihabiskan bersama.

"Man, kita ikut shortcut ni," kata Fuad seraya menunjukkan satu lorong denai kecil.

"Ok." aku segera membuntuti Fuad. Denai ini sering kami lalui setiap hari apabila pulang dari sekolah. Keadaan denai ini agak sunyi tanpa rumah-rumah. Di hujung jalan ini ada sebuah rumah kosong tak berpenghuni. Tetapi hari itu...

Aku mencuit Fuad, "Eh Fuad, engkau nampak tak rumah tu? Ada orang baru pindah kat situ la."

"Ye la. Baru pindah semalam kut." Fuad membuat andaian. " Hah, lepas ni tak de la sunyi sangat jalan ni ye." tambah Fuad. Aku hanya menganggukkan kepala tanda bersetuju dengannya.

Kami meneruskan perjalanan dan setibanya di hujung jalan itu, aku terasa ada sesuatu mengekori langkah kami dari belakang. Aku berpaling dan sangat terkejut ia sedang mengejar kami. Segera kujerit pada Fuad supaya lekas-lekas berlari, bimbang kalau-kalau ayam belanda itu mencatuk kami. Kami menghayunkan langkah larian kami sepantas kilat, umpama atlit negara di sukan balapan. Tetapi ayam itu terus mengejar malah semakin pantas!

"Fuadddddd!!!!! Habislah kita kali ni!!!!!!" aku bertempik sedang nafasku sudah seperti mahu mati ketika itu juga.

"Cepat lari Man!!!!!!!" Fuad juga sepertiku, tapi kelebihan yang ada padanya iaitu pantas berlari meninggalkan aku sedikit jauh ke terkebelakang.

Tiba di suatu parit yang agak besar, Fuad terus melompat dengan bukaan langkahnya yang besar. Dia berjaya melepasi parit itu tetapi sampai sahaja giliranku, parit itu tidak dapat kulepasi, sekaligus menghasilkan seperti bunyi benda jatuh ke dalam air yang sangat kuat. Badanku habis basah lenjun dek air parit yang separas lutut dalamnya itu. Dalam hatiku terus menyumpah-nyumpah.

"Celaka punya ayam belanda!! Aku nak cekik engkauuuuuuuuuuu!!!!". Segera kupanjat tebing dan terus mengejar ayam belanda yang bertuankan entah siapa. Mulanya ayam itu mahu melawan, tapi akhirnya terus terkedek-kedek berlari menuju ke rumah tuannya.

Aku terlampau panas hati terus mengejarnya walaupun berkali-kali dipanggil Fuad supaya memperdulikan sahaja ayam itu dan terus balik ke rumah. Tetapi tidak kuendahkannya kerana ayam belanda itu lebih menarik perhatianku.

Tiba di rumah di hujung jalan yang baru diduduki itu, akhirnya dapat juga kutangkap ayam itu."Hah! Mana mau lari lagi? Mari sini aku kerjakan engkau!!" Aku terus mencekik ayam itu tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Kucekik ayam itu sepuas hati."Padan muka!!". Tetapi aku dikejutkan dengan suatu sergahan seseorang dari belakang."Hoi!! Kenapa engkau cekik ayam aku hah??". Tiba-tiba aku terasa kepalaku seperti diketuk sesuatu. “Aduh,” sakitnya bukan kepalang lagi.

Aku terkejut dan sebaik aku berpaling ke belakang, aku terlihat seorang budak perempuan, sebaya dengan aku, cantik dan lawa pada pandangan mata aku, sedang mencekak pinggangnya sambil memegang sebatang penyapu. Tetapi dia dalam keadaan yang sangat marah.

“Hoi!! Kenapa engkau ketuk kepala aku hah??” teriakku kepada budak perempuan itu.

“Habis tu, kenapa engkau cekik ayam ni?? Mari sini aku nak ketuk lagi!” budak perempuan itu membalas jawapanku dengan kasar sekali. Dengan perasaan yang agak takut, aku segera melepaskan ayamnya tapi aku pula yang dikejar budak perempuan tu!

"Melampau punya budak!!!". Budak perempuan itu terus menghamburkan rasa marahnya dengan tindakanku tadi. Aku terus berlari sambil dia terus mengejar. Tak pernah seumur hidupku dikejar oleh seorang budak perempuan. Tiba di parit tadi..

"Keceburrrrrrrr!!!!". Buat kali kedua, seluruh alam menyaksikan aku jatuh sekali lagi dalam parit itu. Fuad di seberang sana terus mentertawakan aku sedang budak perempuan itu terus mengisyaratkan "padan muka" sambil berlalu meninggalkan aku yang bermandikan air parit itu. Perasaan malu menerpa-nerpa. Dalam hatiku tak habis-habis menyumpah kejadian yang berlaku pada aku dan pada budak perempuan itu...

Esoknya..

Kelasku diberitahu oleh guru kelas bahawa ada seorang pelajar baru yang akan memasuki kelas ini. Pada mulanya aku tidak ambil kisah tentang kehadirannya tetapi melihat saja budak baru tu, aku dan Fuad terkejut dan terpinga-pinga!

Memang sah dia! Dia memang budak perempuan semalam! Dan sekarang dia betul-betul berada di dalam kelasku, akan belajar sama-sama sedangkan aku sangat memusuhinya! Kejadian semalam mula berlegar-legar di ruang fikiran.Semenjak hari itu, hidup aku tak pernah senang dengan kehadirannya, langsung mengisytiharkan ‘perang’ antara aku dengan Kamelia!

Tahun berganti tahun. Kamelia dan aku sudah ditakdirkan untuk duduk sekelas bersama sehinggalah kami melangkah masuk ke Tingkatan 2.

Walaupun sekelas, aku dan dia tak pernah aman atau berbaik semula semenjak kejadian 2 tahun lalu. Malah kami amat pantang kalau bertemu, tentu akan bercakaran kerana ego masing-masing. Dunia ini sangat kecil, setiap hari pasti aku pasti akan bertemu dengan Kamelia. Bukan sekadar bertentang mata, kami asyik bergaduh walhal kerana perkara yang kecil dan remeh-temeh.

Petang itu, kerana terlampau marah dengan tindakan Kamelia pagi tersebut, dengan hati yang panas membara, aku terus menuju ke tempat meletak basikal. Setelah kukenal pasti mana satu basikal milik Kamelia, terus kurosakkan rantai basikalnya dengan niat mahu membalas dendam. "Menangislah engkau puas-puas!!" bentakku dalam hati. Aku sangat puas hati dengan tindakan ini dan aku sangat pasti Kamelia akan melutut meminta maaf

daripadaku!

Hujan turun lebat petang itu, sekaligus membangkitkan kebimbanganku terhadap keadaan Kamelia sekarang. Bagaimana agaknya keadaan dia? Selamatkah dia sampai ke rumah dalam keadaan hujan yang turun mencurah-curah ini? Terus aku rasa tidak sedap hati. Dalam hatiku, aku berkira-kira mahu menjengah atau tidak keadaan Kamelia di sana. Lalu, dengan penuh rasa tanggungjawab, terus kudapatkan basikalku dan meluncur laju meredahi hujan yang masih tidak mahu berhenti. Aku mengatur kayuhan demi kayuhan, semakin pantas kerana Kamelia.

Tiba di suatu tebing jalan, kulihat bayang seseorang sedang bermandikan hujan. Semakin dekat kuhampiri semakin ku kenali raut wajah gadis itu.

"Lia...!!". Rupa-rupanya Kamelia sedang menangis dalam hujan!. Dia sedang bersendirian di samping basikal yang rantainya putus itu! Aku terus mendapatkannya dan kulihat air matanya mengalir sederas air hujan yang turun saat itu. Aku terus memujuknya agar berhenti menangis dan mengajaknya pulang.Tetapi dia masih tersedu-sedan sedang aku masih cuba memujuknya dan meminta maaf kepadanya.

"Maafkan saya, Lia. Semua ni salah saya. Saya minta maaf."

Kamelia hanya berdiam diri. Lama juga. Sehingga aku menjadi semakin serba salah. Tetapi tidak lama selepas itu dia tersenyum. Senyumannya yang pertama sejak kami berjumpa! Sungguh manis! Sungguh indah! Oh Kamelia..

Petang itu kami balik bersama di dalam hujan…

Sejak peristiwa itu, aku asyik teringatkan Kamelia. Perasaanku padanya mula menjadi suatu yang sukar kugambarkan. Aku rindu padanya setiap hari. Sebelum ini aku memang ada menyimpan perasaan kasih padanya, tetapi tak dapat kuluahkan kerana dia dan aku masing-masing sangat ego.

Tetapi semalam, hari ini sangat berlainan sekali rasanya. Kamelia..

Semenjak kejadian itu, aku dan Kamelia semakin rapat malah hubungan kami bertambah baik. Hampir setiap petang selepas habis waktu sekolah, aku mengajaknya keluar. Kami sering berbasikal bersama-sama, sambil aku mengayuh dan dia memboncengku, merentasi kawasan perkampungan. Setiap kali aku membawanya, dia sentiasa memelukku daripada belakang. Bagaikan merpati dua sejoli, aku sangat bahagia menemui dirinya. Indahnya hari-hariku bersama Kamelia. Dia adalah yang pertama mengisi ruang hatiku, dan begitu juga baginya. Cinta pertama yang sungguh indah..

Pada hari itu, hari yang cukup indah, aku menemuinya untuk melepaskan rindu yang bersarang di jiwaku ini. Dia kupandang lembut, setiap riak wajahnya kutatap puas. Kamelia sangat cantik ditambah lagi dengan senyuman manisnya memandangku. Namun dia segera menundukkan wajahnya.

“Kamelia..kenapa tunduk aje? Tak sudi tengok Man ke?” aku mula meneka walhal sudah kutahu jawapannya.

“Taklah..Lia malu la Man pandang Lia macam tu,” Kamelia masih menunduk.

Namun, segera kudapatkan tangannya dan terus menggenggamnya erat seakan tidak akan melepaskannya lagi, walaupun aku sendiri agak menggeletar ketika itu.

Kamelia terkejut dengan tindakanku itu, lalu merah padam mukanya menahan malu.

“Lia..” segera kukucup lembut pipinya yang mulus itu tetapi Kamelia memarahiku..

“Eee..Man, kenapa ni? ” kata-katanya terhenti di situ juga. Aku juga tidak menyangka sepantas kilat kucupanku menyinggah ke pipinya. Buat seketika suasana sepi.

“Maafkan Man. Man pun tak tahu kenapa. Maafkan Man ye Lia..” aku sendiri kelu namun demi menjaga hatinya, segera kumohon maaf. Kamelia hanya tersenyum, “Tak apa, Lia hanya terkejut aje tadi..” kata-katanya melegakan hatiku yang serba salah dengan tindakanku tadi.

“Emm..mari kita balik.” Kamelia mengajakku pulang namun wajahnya masih merah menahan malu. Aku menuruti langkahnya. Sepanjang perjalanan, aku dan Kamelia hanya diam seribu bahasa. Mungkin Kamelia benar-benar marah dengan kelakuanku tadi. Dalam hatiku aku mula menyesal.

Seperti biasa aku menghantarnya pulang ke rumah. Tiba di rumahnya, dia mengucapkan selamat tinggal. Tetapi sebelum masuk ke dalam rumah, Kamelia sempat menghadiahkan ciumannya kepadaku dan ia menyinggah tepat ke pipiku. Sejurus itu, dia terus berlari masuk ke dalam rumahnya. Aku terkedu!!

Esoknya, setelah hampir setahun menanti, kucuba nasib dan sedia mempertaruhkan kelelakianku untuk menjemput cinta Kamelia ke dalam hatiku. Kuluahkan segala yang kupendamkan padanya. Tentang perasaan, kasih dan sayangku padanya..

"Lia terima cinta Man..Cintailah Lia sepenuh hatimu" ujar Kamelia sepenuh hatinya. Dia juga menyatakan isi hatinya yang sama terhadap diriku. Hari itu hari yang cukup bersejarah, cinta di antara aku dan Kamelia termeterai!!

Tak dapat kubayangkan perasaan sendiri pada ketika itu, saat Kamelia bersedia memberi cintanya padaku. Akan kujaga ia. Usahlah kau risau gadisku!

Setelah beberapa lama menyemai cinta bersamanya, akhirnya tiba saat yang paling mendebarkan di usia kami. Peperiksaan percubaan PMR hampir menjelang tiba. Aku selalu mengulangkaji pelajaran dengan Kamelia untuk menghadapi saat-saat genting itu nanti.

Tetapi seminggu sebelum peperiksaan percubaan bermula, aku mula beralasan untuk menjauhkan diri daripada Kamelia. Aku sendiri tidak tahu mengapa. Kejam benar rasanya memperlakukan Kamelia sedemikian rupa.

Hari itu..

"Man..". Kamelia menghubungi aku menerusi telefon.

"Ya.." sahutanku bagai acuh tak acuh kedengaran.

"Man, Lia nak jumpa dengan Man hari ni,boleh tak?" Kamelia seakan berat mahu meluahkan isi hatinya.

"Man minta maaf Lia. Man tengah sibuk ni. Tak ada masa. " aku mencipta alasan seakan mahu menolak permintaan Kamelia itu.

"Man, sekejap saja." Kamelia merayu, namun..

"Lia, Man tengah sibuk ni. Kenapa Lia tak faham-faham ni??" aku mula meninggikan suara agar dia segera beralah.

"Man..Lia merayu ni.." belum sempat Kamelia menghabiskan kata-katanya, segera kuletakkan gagang telefon. Gangg!!

Aku sendiri tak tahu kenapa sanggup aku perlakukan Kamelia begitu. Walhal aku sangat menyayanginya, tak pernah sekali pun aku melukakan hatinya. Dalam hatiku hanya ada dia seorang. Tak dapat kulelapkan mata kerana memikirkan hal itu. Maafkan Man, Lia! Man nak jumpa Lia esok untuk meminta maaf. Man minta maaf sayang...

Keesokannya, aku menunggu Kamelia masuk ke kelas awal-awal pagi lagi. Kuperhatikan tempat duduknya yang agak jauh dariku, kosong dan tidak nampak langsung akan kelibatnya. Sehinggalah guru yang bertugas masuk ke kelas dan mula mengajar, Kamelia masih tiada di tempatnya.

Hari itu fikiranku mula bergelora, gelisah menanti kehadiran Kamelia. Dan begitu juga pada esok, dan lusanya..Kamelia tidak hadir. Apa yang berlaku sebenarnya? Oh Tuhan..

Sehinggalah masuk pada minggu peperiksaan percubaan PMR. Kamelia masih tidak hadir. Buat seketika, aku melupakan rasa sangsiku terhadap perubahan pelik Kamelia ini. Kupertaruhkan apa sahaja ilmu di dada untuk mengisi ruang-ruang kosong di dada kertas jawapan. Persediaanku terhadap peperiksaan ini sangat rapi dan kemas dan aku mahu pastikan semuanya berjalan lancar.

Pada hari kedua, ketiga dan seterusnya peperiksaan. berlangsung, Kamelia masih tidak muncul. Apatah lagi untuk mengambil peperiksaan ini.

Aku masih lagi memikirkan tentangnya. Terlintas juga mengenai perkara yang bukan-bukan. Namun segera kubuang jauh-jauh agar tidak mengganggu fikiran..

Tiba di hari terakhir, tidak terlihat sedikitpun kelibat gadis cantik Kameliaku di dewan peperiksaan. Aku sangat hampa kerana hasrat untuk bertemu dengannya dan meminta maaf masih belum tertunai. Aku terus memendam rasa dan berharap agar dapat berjumpa dengannya selepas tamat peperiksaan ini.

Minit terakhir semasa menduduki kertas yang terakhir, guru bertugas mengarahkan supaya semua kertas jawapan dikutip dan diserahkan kepada ketua pengawas. Sedang aku sibuk mengemaskan segala peralatan menulisku, guru kami mengatakan bahawa akan mengumumkan sesuatu kepada semua pelajar yang berada di dalam dewan tersebut. Entah mengapa, degupan jantungku menjadi kencang tiba-tiba apabila melihat riak

wajah guru berkenaan yang bertukar menjadi sedih. Dan..

"Para pelajar semua, salah seorang rakan kamu, semalam telah menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat barah otak. Pelajar tersebut ialah Nurul Kamelia Huda Ghazali. Dan marilah kita sama-sama menyedahkahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat."

Serentak dengan itu, seluruh dewan bergema dengan suara para pelajar yang terkejut dengan berita itu. Bunyi esak tangis sahabat-sahabat terdekat Allahyarham memenuhi ruang dewan itu. Mereka terkejut, mereka menangis, sedangkan aku? Serasanya aku mahu menjerit, mahu pengsan di situ juga! Kamelia!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!


Seakan tidak percaya dengan berita ini, aku hampir menjadi gila kerananya. Aku menganggapnya sebagai suatu mimpi ngeri. Hakikat ini terlalu payah untuk kuhadapi. Sesungguhnya sungguh pahit kenyataan ini dan sangat perit untuk kutelan. Mengapa dia pergi di saat begini, di saat aku masih merasa sangat bersalah padanya. Di saat aku masih memerlukan cintanya. Belum pun sempat kulafazkan maaf padanya, dia mendahului menyahut seruan Ilahi. Aku sangat menyesal!! Menyesal kerana permintaan terakhirnya itu tak dapat kupenuhi. Menyesal kerana aku tiada bersamanya di hari-hari terakhir sebelum ajal datang menjemputnya. Aku menyesal!!!!!!!!!!

Kalo ada satu hari lagi.....ruang dan waktu yang ku miliki
Kalo ada satu hari lagi...mungkin semlm mungkin kau tidak akan pergi

Kini, sudah 8 tahun aku bersendirian tanpanya. Aku masih merasa sesalan yang masih berbaki ini. Setiap hari aku berdoa semoga dia sentiasa aman dan bahagia nun jauh di sana. Amin...

Kamelia..di dalam mimpiku aku sentiasa mengharap engkau datang mewarnai hari-hariku…Aku sangat rindu padamu. Kembalilah..

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment