Gandingan Tengku Abdullah, Annuar
|
ANNUAR (kiri) berkata sesuatu kepada Tengku Abdullah pada Kongres Tahunan FAM ke-47 di Shah Alam semalam. |
TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berjaya menyandang semula jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2010/2014.
Selain Tengku Abdullah, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa turut dipilih untuk menduduki kerusi No. 2 dalam badan induk bola sepak negara itu.
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mengekalkan jawatan sebagai Presiden FAM yang disandang baginda pada 1984 apabila menang tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup pada 18 Julai lalu.
Tengku Abdullah yang juga Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) meraih undian tertinggi iaitu sebanyak 29 undi manakala Annuar pula dengan 23 undi, sekali gus mengenepikan cabaran tiga calon lain yang turut bertanding merebut jawatan tersebut.
Tiga calon tersebut ialah penyandang, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad, Datuk Che Mat Jusoh dan Datuk Abdul Mokhtar Ahmad manakala Khairy Jamaluddin tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan kali ini.
Setelah sah dilantik menjawat semula jawatan Timbalan Presiden, Tengku Abdullah ternyata mempunyai perancangannya yang tersendiri dalam usaha baginda memartabatkan imej bola sepak negara.
“Namun itu semua akan dibincangkan terlebih dahulu bersama Presiden iaitu ayahanda saya (Sultan Ahmad Shah) serta barisan kepimpinan baru mengenai objektif utama yang perlu difikirkan untuk membangunkan bola sepak negara,” jelas Tengku Abdullah ketika sidang media sejurus selesai sesi pemilihan tersebut.
Ketika ditanya mengenai pembahagian masanya antara FAM dan PHM, Tengku Abdullah menjawab: “Ia tidak akan mendatangkan sebarang masalah kepada saya kerana kedua-dua tugas itu saya minat.”
Sementara itu, Annuar berkata, beliau turut mempunyai beberapa pandangan yang dianggap mampu mempertingkatkan mutu bola sepak negara.
Namun jelasnya, ia semua perlu terlebih dahulu dibincangkan dan mendapat perkenan daripada Sultan Ahmad Shah dan dipersetujui oleh ahli-ahli majlis badan induk tersebut.
“Ada beberapa pendekatan baru akan dilakukan dalam usaha kita (FAM) menjamin masa depan serta mutu bola sepak negara dan ia sudah pasti akan mengambil sedikit masa sebelum kita mampu merealisasikan apa yang telah kita tetapkan itu,” jelas Annuar.
Bagi jawatan Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah muncul satu-satunya penyandang yang berjaya mempertahankan jawatannya pada pemilihan kali ini.
Begitupun, berdasarkan undian yang diperoleh, Datuk Subahan Kamal mendahului calon-calon yang lain dengan undi tertinggi iaitu sebanyak 28 undi, diikuti Datuk Hamidin Mohd. Amin (27), Afandi (20) dan Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd. Hashim (19).
|
|
Seramai lapan daripada 13 calon pula telah dipilih bagi mengisi jawatan ahli majlis FAM.
Calon yang terpilih ialah Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Astaman Abdul Aziz, Mejar Rani Abdul Rahim, S. Sivasundram, Datuk Hamdan Mohamed Khalib, Datuk Osman Salleh, Rosmadi Ismail dan Datuk Jeffery Low Han Chau.
Terdahulu, seramai 38 perwakilan yang membabitkan 19 ahli gabungan FAM telah hadir bagi menentukan barisan kepimpinan baru pada sesi pemilihan Kongres Tahunan FAM ke-47 di Hotel Holiday Inn Kuala Lumpur, Glenmarie, Shah Alam semalam.
Sementara itu, jumlah anggota gabungan FAM kini meningkat kepada 20 selepas kongres semalam bersetuju menerima kemasukan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia.
Sebelum ini, FAM mempunyai 19 anggota gabungan termasuk Persatuan Bola Sepak Melayu, Persatuan Bola Sepak China dan Majlis Sukan India.
sumber:kosmo
tarikh:01/08/2010
Currently have 0 comments: